IQNA

Nabi S.A.W contoh ikutan yang terbaik dalam perjuangan

11:36 - December 06, 2021
Berita ID: 3100499
TEHRAN (IQNA) - APABILA sambutan Maulidur Rasul S.A.W kita akan sering kedengaran dibacakan ayat ini: (لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا)

(لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.”

Tahukah anda ayat ini ayat berapa dan berada di dalam surah apa? Ayat 21 Surah Al-Ahzab.

Tahukah anda di dalam ayat sebelumnya (Ayat 20) dan ayat selepasnya (Ayat 22) ada perkataan Al-Ahzab?

(یَحۡسَبُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ لَمۡ یَذۡهَبُوا۟ۖ وَإِن یَأۡتِ ٱلۡأَحۡزَابُ یَوَدُّوا۟ لَوۡ أَنَّهُم بَادُونَ فِی ٱلۡأَعۡرَابِ یَسۡـَٔلُونَ عَنۡ أَنۢبَاۤىِٕكُمۡۖ وَلَوۡ كَانُوا۟ فِیكُم مَّا قَـٰتَلُوۤا۟ إِلَّا قَلِیلࣰا)

“Mereka menyangka bahawa tentera ‘al-Ahzaab’ itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.”

(Al-Ahzab: 20)

(وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُوا۟ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّاۤ إِیمَـٰنࣰا وَتَسۡلِیمࣰا)

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”

(al-Ahzab: 22)

Al-Ahzab itu apa? Tentera bersekutu atau gabungan kumpulan-kumpulan atau parti-parti yang diketuai oleh Kumpulan Musyrikin Makkah yang bergabung dengan Kumpulan Yahudi Bani Nadhir dan Yahudi Bani Quraizah (asalnya warga negara Madinah yang berkhianat) dan dengan beberapa suku Arab seperti Bani Ghatfan dan lain-lain untuk mengepung dan memerangi Kota Madinah. Peperangan ini berlaku pada tahun 5 Hijriyyah dan juga dinamakan perang Khandaq atau Parit.

Lantas Ahzab ini cerita mengenai apa?

1. Nabi S.A.W sebagai ketua negara dan ahli politik yang memimpin sebuah negara yang berdaulat.
2. Strategik Nabi S.A.W dalam mendepani situasi politik dan keselamatan kedaulatan negara Madinah yang dicabar oleh pihak musuh yang bergabung dengan warganegara Madinah yang berkhianat.
3. Adanya Sahifah atau Piagam atau Perlembagaan Madinah yang memberikan kerakyatan dan hak kewarganegaraan kepada orang bukan-Islam yang tidak ekstrem. Sehinggalah hak tersebut dicabut apabila mereka khianat.

Lalu bagaimana mungkin Uswah Hasanah atau Nabi S.A.W sebagai teladan dalam ayat 21 yang sering kita bacakan itu dapat kita pisahkan kaitannya dengan jihad, perjuangan, pengorbanan, amal jamaie, kepimpinan, politik, kuasa, kenegaraan, kewarganegaraan, keselamatan, pertahanan, kedaulatan dan pengkhianatan?

harakahdaily.net

captcha